PETALING JAYA – Memerangi rasuah bukanlah undang-undang nombor satu yang patut diberikan perhatian, sebaliknya integriti untuk tidak terlibat dengan gejala itu merupakan perkara penting yang perlu menjadi keutamaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, disiplin dalam integriti merupakan satu benda yang jarang sekali boleh dielak oleh setiap individu.
“Soal rasuah ini memeranginya bukan undang-undang nombor satu, tapi integriti itu yang lebih penting. Bukan dari segi undang-undang, undang-undang ni kadang-kadang ada cari jalan boleh elak, tapi integriti ni jarang orang boleh elak, dia sendiri yang mendisiplinkan diri dia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi(OACS) 2024–2028 atau GENTAR di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di Kota Damansara, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim, Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Gunawan Che Ab Aziz dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.
Dalam pada itu Mohamad memberitahu, di peringkat NAFAS sendiri satu jawatankuasa ditubuhkan dalam usaha untuk memerangi budaya tidak sihat itu.
Katanya, jawatankuasa yang dipanggil Unit Integriti itu akan memantau segala mesyuarat di peringkat kumpulan NAFAS dan diperingkat anak syarikat
“Jadi wakil dari unit integriti ini akan hadir secara berkala di setiap mesyuarat jawatankuasa di peringkat Kumpulan dan juga anak-anak syarikat.
“Itu yang kita buat supaya across the board memang ada unit integriti yang akan pastikan semuanya ikut tatakelola dan proses yang betul,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, melalui aspirasi keterjaminan makanan, seluruh warga kerja kementerian, Jabatan dan Agensi, wajar mengambil prinsip amanah sebagai paksi utama dalam memenuhi tanggungjawab dengan tadbir urus yang baik terutama yang berkaitan dengan tugas besar di kemnetrian terhadap rakyat dan negara.
Katanya, pencegahan rasuah perlu berlaku di semua peringkat lapisan dari anggota bawah hingga ke kepimpinan tertinggi dalam organisasi supaya budaya yang telah dinormalisasikan itu dapat dihapuskan secara bersistematik.
“Justeru, hanya reformasi institusi secara menyeluruh dengan memperbaiki kelemahan sistem yang ada mampu menangani masalah jenayah kolar putih ini mencakupi semua badan awam. – MalaysiaGazette