Rafizi melancarkan Laporan Ekonomi Terhadap Malaysia 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di Kuala Lumpur hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memperkenalkan Akta Iltizam Kecekapan Kerajaan bertujuan untuk memudahkan dan menyeragamkan prosedur memulakan perniagaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, cadangan mewujudkan akta tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi sebanyak dua kali iaitu Mac dan Ogos baru-baru ini.

Menurut beliau, undang-undang baharu yang konsepnya seiring dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 itu  dijangka akan dibentangkan pada hujung tahun 2024.

“Keputusan kerajaan adalah komitmen untuk memudah cara perniagaan, kita akan mengambil langkah melalui satu akta dan akta ini akan memberi garis panduan kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara kerenah birokrasi.

“Ia lebih kurang selari dengan FRA yang telah diperkenalkan tahun lepas, kalau ia menetapkan contohnya garis-garis sempdan dari segi fiskal, hutang, defisit, perbelanjaan pembangunan, itu semua.

“Akta Iltizam konsepnya sama, meletakkan garis kecekapan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan dan perlu dibincangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Laporan Ekonomi Terhadap Malaysia 2024 oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di sini hari ini.

Rafizi berkata, kerajaan aedia maklum tahap daya saing negara turut diukur melalui kerenah birokrasi yang ditetapkan bukan hanya kementerian-kementerian malah jabatan dan agensi dalam menentukan suatu prosedur.

“Kementerian Ekonomi memang telah menumpukan kepada mencari jalan bagaimana kita boleh tambah baik perkara ini. Ia juga sebahagian daripada kayu ukur untuk menentukan daya saing negara, negara yang demokrasinya rumit yang lambat selalunya akan dimarkahkan rendah dari aspek daya saing,” jelasnya.

Dewan Rakyat pada tahun lalu telah meluluskan FRA yang disifatkan bakal akan menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam fiskal dan ekonomi negara diurus dengan lebih baik.

Empat perkara utama ditetapkan untuk dicapai dalam FRA sebelum ini ialah perbelanjaan pembangunan tidak kurang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); paras hutang Kerajaan Persekutuan tidak boleh lebih 60 peratus KDNK; paras defisit mesti tidak boleh lebih tiga peratus daripada KDNK dan jaminan kerajaan termasuk kontingen liabiliti mesti tidak boleh lebih 25 peratus daripada KDNK.- MalaysiGazette