PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi dijangka membentangkan Kertas Putih Agenda Negara Menua di Dewan Rakyat pada penggal pertama 2025.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ia bagi merangka semula kedudukan sosial negara.
“Kita dah siapkan rangka kerja negara menua. Malah, ia akan menjadi salah satu tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas melancarkan Tinjauan Ekonomi Malaysia Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) 2024, di sini, hari ini.
Menurut Rafizi, laporan dan rangka kerja itu akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) terlebih dahulu pada November ini.
Tambahnya, selepas mendapat kelulusan dan dibincang secara mendalam di peringkat kerajaan, ia akan dibentang kepada rakyat menerusi kertas putih itu.
Katanya, unjuran negara menua itu perlu diketahui oleh rakyat kerana terdapat kelemahan daripada segi perlindungan sosial.
“Seperti ditunjukkan laporan OECD, kita ada kelemahan dari segi perlindungan sosial terutama kepada kumpulan pencen yang perlu kita beri penekanan segera,” ujarnya.
Rafizi ketika berucap pada majlis pelancaran penemuan Banci Ekonomi 2023 baru-baru ini berkata, Malaysia bukan sahaja menjadi sebuah negara yang semakin menua tetapi juga akan melalui proses tersebut dengan keadaan lebih miskin berbanding negara lain.
Banci Kebangsaan 2020 mendedahkan peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas meningkat dengan ketara dalam tempoh dua dekad lalu. – MalaysiaGazette