KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan tingkah laku peguam bela, Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman yang lebih berminat dengan asal usul, datuk dan moyang beliau sedangkan kes sama yang dikemukakan berkaitan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfitnah beliau.
Bekas Perdana menteri itu berkata, Ahmad Zahid telah menghina beliau dan bukannya pihak lain termasuk datuk dan moyangnya.
“Saya tidak faham anda asyik tanya tentang asal usul keluarga kami, adakah kami Muslim dan sebagainya. Ini adalah kes saman fitnah yang mana saya saman defendan kerana berbohong dan memfitnah saya. Beliau hina saya.
“Sepatutnya dalam perkara ini, kes ini sepatutnya menentukan sama ada Zahid telah berbohong dan adakah akan memohon maaf kerana melakukan demikian.
“Tolong tunjuk kepada saya bahawa nama ialah Mahathir anak lelaki Kutty. Tunjukkan bukti saya bukan Mahathir bin Mohamad,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Mahkamah Tinggi, Gan Techiong.
Hampir sepanjang prosiding, Mohd Shahrul Fazli bertanya tentang asal usul keluarga Dr. Mahathir terutama datuk dan moyangnya dari India Utara, Kerala.
Dr. Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di beberapa media dan boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Dakwanya, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.
Katanya, kenyataan itu seolah-olah menuduhnya telah menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Bagaimanapun, pada penghujung prosiding, Gan memaklumkan kepada Dr. Mahathir bahawa adalah normal soalan-soalan sedemikian dikemukakan dalam kes saman fitnah.
“Isu asal usul dan nama bukan kali pertama disebut, sebaliknya pernah disebut oleh pihak lain termasuk buku-buku dikemukakan oleh pembelaan.
“Soal balas seperti ini tetapi sebagai saksi yang beri keterangan boleh beri penjelasan seberapa banyak anda mahu,” ujarnya.
Sementara itu, Gan memuji daya ketahanan serta ingatan Dr. Mahathir yang menjawab soalan dengan baik dan jelas walaupun berusia 99 tahun.
Prosiding akan bersambung pada 14 Oktober depan. – MalaysiaGazette