Pavel Durov, pengasas dan Ketua Pegawai Esekutif Telegram. Foto Telegram

PARIS – Perancis melanjutkan penahanan Pavel Durov, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram.

Durov ditahan sekitar jam 8 malam pada hari Sabtu lalu sejurun turun dari jet peribadinya di Lapangan Terbang Bourget di Paris, menurut media Perancis.

Franco-Rusia, 39 tahun disenaraikan sebagai individu dikehendaki di Perancis, ketika itu baru sahaja tiba dari Azerbaijan.

Pihak berkuasa kehakiman Perancis memutuskan lewat Ahad untuk melanjutkan tahanannya, yang terhad kepada 96 jam, lapor akhbar mingguan Le Point.

Pada akhir penahanannya, Durov mesti dibebaskan atau dibawa ke hadapan hakim untuk kemungkinan didakwa.

Selepas menjalankan siasatan awal, polis telah mengeluarkan waran geledahnya.

Durov, yang mempunyai dua kewarganegaraan Perancis dan Emiriah Arab Bersatu, telah ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan awal polis kerana didakwa membenarkan pelbagai jenis jenayah disebabkan kekurangan moderator di Telegram dan kekurangan kerjasama dengan polis, menurut sumber polis.

Telegram, yang berpangkalan di Dubai, diasaskan oleh Durov, meninggalkan Rusia pada 2014 selepas dia enggan mematuhi tuntutan untuk menutup komuniti pembangkang di platform media sosial VK miliknya yang kemudian telah dijual.

Aplikasi yang disulitkan, dengan hampir 1 bilion pengguna, sangat berpengaruh di Rusia, Ukraine dan bekas Republik Kesatuan Soviet.

Ia disenaraikan sebagai salah satu platform media sosial utama selepas Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok dan WeChat. – Agensi