KUALA LUMPUR – Peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan di Malaysia bagi suku tahun ketiga 2024, dengan petunjuk keyakinan positif sebanyak +4.7 peratus, meningkat daripada +0.7 peratus pada suku tahun kedua 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor menjangkakan perspektif perniagaan yang lebih cerah untuk suku tahun ketiga 2024.

Menurutnya, sentimen peniaga dalam sektor industri kekal menggalakkan dengan +4.1 peratus pada suku rujukan berbanding +5.3 peratus pada suku sebelumnya.

Sentimen kukuh ini disokong oleh keyakinan positif daripada keempat-empat subsektor industri iaitu elektrik dan air (+23.3%), perlombongan (+6.7%), pembuatan (+2.0%) dan pertanian (+0.6%).

Sementara itu, sektor perkhidmatan menjangkakan keadaan perniagaan yang bertambah baik dengan petunjuk keyakinan melonjak semula kepada trajektori positif dengan +8.3 peratus daripada -0.9 peratus yang dicatatkan pada suku tahun kedua 2024.

Anjakan ini didorong terutamanya peningkatan dalam petunjuk keyakinan kesihatan (+40.0%), diikuti oleh insurans (20.6%) dan penginapan (+16.7%).

“Petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan bertukar positif dengan catatan +2.2 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding -14.8 peratus sebelumnya.

“Begitu juga, sentimen bagi sektor perdagangan borong dan runcit bertukar ke landasan positif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan +1.4 peratus berbanding -4.1 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.

Walaupun sektor perdagangan borong dan runcit optimis mengenai persekitaran perniagaan bagi suku ketiga 2024, namun peniaga kecil dan sederhana berwaspada dengan persaingan yang berterusan, termasuk persaingan jualan atas talian.

Mohd Uzir berkata, melihat kepada prospek perniagaan bagi separuh kedua 2024, peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.5 peratus berbanding +14.9 peratus yang dicatatkan untuk tempoh April hingga September 2024.

Sentimen dalam sektor perkhidmatan bertambah baik dengan imbangan bersih +30.8 peratus berbanding +9.5 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

Semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan menjangkakan prospek positif untuk enam bulan yang akan datang, dengan subsektor kesihatan, penginapan dan pendidikan paling optimistik.

Pada masa yang sama, sektor industri menjangkakan keadaan perniagaan yang menggalakkan dengan imbangan bersih +23.2 peratus berbanding +25.6 peratus yang direkodkan sebelumnya.

Bagi sektor pembinaan, prospek kekal cerah bagi tempoh enam bulan akan datang, dengan imbangan bersih +21.7 peratus berbanding +3.7 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

Sektor perdagangan borong & runcit bertukar optimistik terhadap situasi perniagaan bagi enam bulan akan datang berakhir Disember 2024, dengan imbangan bersih +13.4 peratus berbanding -1.5 peratus sebelumnya. – MalaysiaGazette