Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.-MUHD NA’IM, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pertembungan antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan “orang kuat” bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditunda lagi.

Menurut Lim Sian See, beliau menerima makluman sesi podcast Yang Bakar Menteri dengan Ahli Parlimen Pandan itu akan ditunda ke 6 September.

Pada 1 Ogos lalu, Sian See berkata, pihak Rafizi telah menghubungi beliau dan telah mengesahkan tarikh pertembungannya dengan Menteri Ekonomi itu dijadualkan pada 29 Ogos.

“Baru terima mesej pagi ini bahawa rakaman sesi podcast bakar menteri formula telah ditangguh dari Khamis minggu ini ke Jumaat (6 Sept 2024) minggu depan. Takpe. Seminggu sahaja,” katanya ringkas di media sosial.

Sebelum ini Sian See mencabar Rafizi untuk menjemputnya sebagai tetamu podcast selepas Ahli Parlimen Pandan itu menyindir pembangkang tidak berani untuk tampil dalam program ‘Yang Bakar Menteri’.

Pada 19 Februari lalu, Rafizi dalam catatan di media sosial bersetuju untuk menjemput Isham, Puad dan Sian See sebagai tetamu.

Rafizi berkata, beliau telah mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung jemputan tersebut.

Pada Mac lalu, Rafizi membidas Sian See yang mempersoalkan mengapa beliau bertangguh dalam menetapkan pertemuan podcast antara mereka.

“Lim Sian See ni ada sedikit entitlement. (Dia ingat) dialah manusia paling penting dalam dunia ni, sebab dia orang penting kem Najib (Razak) dulu.

“Saya baru dua minggu spinal operation pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ini,” sindir Rafizi dalam catatan di platform media sosial X.

Dalam catatan tersebut, Rafizi meminta Sian See menunggu sehingga Ramadan tamat kerana bulan berkenaan dipenuhi oleh umat Islam untuk beribadat.

April lalu, media melaporkan Rafizi berkata, Sian See perlu menunggu beliau menyelesaikan program-program besar untuk rakyat terlebih dahulu.

“Lim Sian See ini tiada kerja lain, hanya mahukan perhatian sahaja. Tapi nanti saya sendiri akan jemput dia ke udara dalam program audio siar (postcast). Tunggu saya selesai program-program besar untuk rakyat dulu,” katanya pada 20 April lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast