Pasangan suami isteri, dijatuhi hukuman 28 hari penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini.

MELAKA – Padah mencuri 24 peket Milo dan Nescafe dengan alasan untuk dijual bagi menampung kos rawatan dialisis ibu sejak Mei lalu, pasangan suami isteri dijatuhi hukuman 28 hari penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhamad Nor Azam Bakar, 34 dan Nor Azura Rosslan, 38, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama telah mencuri 11 peket Milo 2 kilogram (kg) yang bernilai RM493.57 milik pasar raya Aeon Ayer Keroh, dalam bangunan tersebut yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda pada pukul 8.02 malam, 16 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu sekali lagi secara bersama-sama telah mengulangi kesalahan sama pada pukul 8.45 malam keesokan harinya dengan mencuri lapan peket Milo 2 kg bernilai RM358.96 milik pasar raya sama.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali yang kedua atau kemudian hendaklah dihukum dengan penjara dan hendaklah juga dikenakan denda dan sebat.

Muhamad Nor Azam turut didakwa mencuri lima peket Nescafe Refill Pack, satu peket kapas muka dan tisu tandas yang berjumlah RM250.50 milik pasar raya Setia Jaya.

Perbuatan itu dilakukan di pasar raya Setia Jaya, Jalan KL 3/13, Taman Kota Laksamana Jaya, dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 8.53 malam 14 Mei 2024.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingg 10 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan berulang di tempat yang sama pada tarikh berbeza dan ia bukanlah barangan keperluan hidup.

Tertuduh yang diwakili peguam Nigel Tai merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai penjual burger merupakan penyara tunggal keluarga termasuk lima anak dan dua daripadanya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Isterinya pula Nor Azura, hanya bekerja sebagai tukang urut dan ini adalah kesalahan pertama dilakukannya.

Ketika disoal Majistret Khairunnisak apakah tujuannya mencuri peket Milo berkenaan, Muhamad Nor Azam memberi alasan ia untuk dijual bagi menampung kos rawatan dialisis ibunya sebanyak tiga kali seminggu.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah mengarahkan kedua-dua mereka dipenjara keseluruhannya berjumlah 28 hari dan denda RM3,000 atau penjara antara dua minggu hingga satu bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast