Abdul Rahman Dahlan dan Kasim mendengar penerangan berkaitan platform Openbook@UMS

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Commonwealth of Learning (COL) telah melancarkan platform inovatif ‘Openbook@UMS’ dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, Openbook@UMS adalah platform yang mesra pengguna dan inovatif yang bakal menginspirasi pensyarah untuk membangunkan buku terbuka multimedia interaktif.

“Ini akan meningkatkan kualiti kandungan kursus dan keterlihatan pensyarah serta UMS di peringkat global”  tambah beliau.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat E-Pembelajaran, Prof. Dr. Fong Soon Fook, projek Openbook@UMS merupakan hasil daripada perjanjian yang dimeterai antara UMS dan COL pada 8 September 2023.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha global untuk memperluas penggunaan Sumber Pendidikan Terbuka (OER), dengan tujuan menjadikan bahan pendidikan lebih mudah diakses dan berpatutan bagi pelajar serta pendidik di seluruh dunia.

“Platform ini disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA),” katanya.

Platform ini yang mula dibuka kepada umum pada 27 Ogos 2024, dikeluarkan di bawah lesen Creative Commons, membolehkan ia diakses, digunakan, dan diedarkan secara percuma oleh sesiapa sahaja.

Tambah beliau, dengan ciri-ciri mesra pengguna dan serba boleh, Openbook@UMS Mukdahan penciptaan, penyesuaian, dan perkongsian buku teks yang interaktif dan berorientasikan web.

“UMS berharap Openbook@UMS akan menjadi model contoh bagi universiti awam di Malaysia dan seterusnya menggalakkan kerjasama antara semua institusi pendidikan tinggi dalam negara.

“Melalui inisiatif ini, UMS berhasrat untuk memupuk inovasi dalam pendidikan tinggi dan mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti,” ujar Dr. Fong. – MalaysiaGazette