Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pusat panggilan penipuan palsu pelaburan dalam mata wang kripto yang mensasarkan warga Jepun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 21 individu ditahan dalam serbuan berasingan di dua buah kediaman mewah di ibu negara, 19 Ogos lalu.

Katanya suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan, 17 warga China termasuk seorang wanita, serta masing-masing seorang lelaki Hong Kong dan Myanmar dan wanita Laos.

“Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 37 tahun itu  berperanan sebagai pekerja khidmat pelanggan di pusat panggilan tersebut.

“Manakala, seorang warga tempatan yang ditahan dalam serbuan itu adalah penjaga atau runner pusat panggilan itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Polis juga mendapati pusat panggilan itu baru memulakan operasi mereka kurang sebulan yang lepas.

Modus operandi sindiket ini menggunakan banglo mewah yang mempunyai dua lapisan pagar tinggi dan terletak jauh dari jalan utama sebagai pusat operasi penipuan bagi mengelak aktiviti dihidu pihak berkuasa.

Mereka yang ditahan berperanan mencari mangsa terutamanya dalam kalangan warga Jepun melalui media sosial iaitu seperti Tinder dan 9monster.

Mangsa yang terpedaya akan diajak untuk melabur melalui aplikasi Bitbank dan CoinCheck.

“Ahli sindiket ini masuk ke dalam negara menggunakan Pas Lawatan Sosial dan menerima gaji dalam bentuk komisen sebanyak 20 peratus daripada wang yang berjaya ditipu,” katanya lagi.

Ramli menambah, suspek tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat 25 Ogos lalu manakala 20 lagi individu masih direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast