Benson Lau

KUALA LUMPUR – Varia  Berhad (Varia), pemain dalam bidang pembinaan dan pembangunan hartanah memperoleh kontrak daripada Kator Construction Sdn Bhd. (KCSB) untuk projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 di daerah Segamat bernilai RM410.3 juta.

Kontrak itu diperoleh melalui anak syarikatnya Pembinaan Teguh Maju Sdn. Bhd. (PTM).

Pengarah Urusan Varia, Benson Lau berkata, di bawah terma kontrak ini, PTM akan bertindak sebagai sub-kontraktor, bertanggungjawab untuk menaik taraf Sungai Muar, yang merangkumi pelbagai kerja tebatan banjir kritikal.

Projek ini akan dijalankan dalam tempoh 60 bulan, bermula pada 23 Julai 2024, dengan jangkaan tarikh siap pada 22 Julai 2029.

“Kontrak ini menandakan satu lagi kejayaan bagi Varia Berhad dalam mendapatkan projek berskala besar dan berimpak tinggi.

“Penglibatan kami dalam projek ini dalah bukti kepakaran kami yang semakin meningkat dalam pembangunan infrastruktur dan komitmen untuk menyumbang secara positif kepada komuniti yang kami berkhidmat,” katanya.

Lau menjangkakan projek ini akan meningkatkan pendapatan kami dengan ketara dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat  dan meningkatkan nilai pemegang saham.

Pada 23 Julai 2024, PTM telah dianugerahkan kontrak RM555.0 juta oleh Best Metro Builder Sdn. Bhd. untuk mereka bentuk dan membina loji rawatan pembetungan yang komprehensif di Pulau Pinang, sebuah projek yang sejajar dengan matlamat kelestarian alam sekitar Malaysia dan dijangka siap pada Mac 2029.

Tidak lama selepas itu, pada 14 Ogos 2024, PTM memperoleh kontrak RM61.5 juta daripada Kemuncak Pesaka Sdn. Bhd untuk membangunkan kemudahan pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, meningkatkan kehadiran Varia dalam sektor pembinaan pendidikan.

“Kejayaan konsisten Varia dalam mendapatkan kontrak berimpak tinggi mengukuhkan kehadiran pasarannya yang kukuh dan memastikan keterlihatan hasil yang berterusan,” ujarnya.

Buku pesanan kumpulan kini berjumlah RM2.2 bilion dan ia dijangka meningkatkan prestasi kewangan dengan ketara dalam tempoh akan datang, mengesahkan kedudukan pasaran strategiknya di seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette