Balau Homes One menampilkan reka bentuk kontemporari.

KUALA LUMPUR – Boustead Properties Berhad (Boustead) telah menyerahkan fasa pertama pembangunan Balau Homes kepada para pemilik rumah.

Terletak di perbandaran Mutiara Hills, Semenyih, kediaman ini menggabungkan ketenangan alam semulajadi dengan kemudahan moden, menjadikannya pembangunan yang berorientasikan alam semula jadi.

Balau Homes One, yang merupakan fasa permulaan, menetapkan standard bagi pembangunan ini dengan reka bentuk kontemporari dan kemudahan yang teliti.

Fasa ini merangkumi tiga sub-fasa: Fasa 1A1, Fasa 1A2, dan Fasa 1B.

Dengan 74 unit di Fasa 1A1 kini sedia untuk dihuni, pemilik rumah boleh berpindah ke kediaman baharu mereka.

Rumah teres dua tingkat pegangan bebas ini yang berstatus hak milik individu mempunyai keluasan binaan antara 1,512 kaki persegi sehingga 2,158 kaki persegi.

Setiap rumah mempunyai empat bilik tidur serta tiga hingga empat bilik mandi, pada tanah berukuran 20 kaki x 70 kaki. Harga bagi perumahan ini bermula dari RM505,000.00

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Properties, Khairul Azizi Ismail berkata, penyempurnaan projek Fasa 1A1 Mutiara Hills telah mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia.

“Dengan hak milik individu dan tanpa caj penyelenggaraan yang tinggi, lokasi rumah-rumah berlatarbelakangkan Bukit Broga yang ikonik, menekankan komitmen kami untuk menyediakan kehidupan moden dan luas dalam suasana harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.

Balau Homes One, yang mempunyai 230 unit di tiga sub-fasa, menawarkan rumah yang luas untuk keluarga yang sedang berkembang.

Lokasi strategik Balau Homes, berhampiran Bukit Broga dan lebuh raya utama seperti LEKAS, Lebuh Raya Cheras-Kajang, dan Lebuh Raya Sungai Besi, menawarkan kemudahan dan menghubungkan ke bandar-bandar seperti Kajang, Bangi, Putrajaya, dan Cyberjaya. – MalaysiaGazette