Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) telah melibatkan 1,100 peserta di seluruh negara dalam proses pengubalan Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information Act (FOI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Politik), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peserta termasuklah wakil negeri, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat Madani (CSO), badan peguam dan ahli akademik.

Katanya, objektif sesi libat urus adalah bagi membincangkan secara interaktif bersama kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebagai pemilik maklumat untuk mendapatkan pandangan dan input berkaitan penggubalan Akta Kebebasan.

Ia juga meneliti parameter dasar berkaitan Akta Kebebasan Maklumat di peringkat Persekutuan yang relevan dan sesuai dengan keperluan semasa Kerajaan berdasarkan amalan terbaik global.

“Keputusan Kerajaan Perpaduan mencerminkan ketelusan Kerajaan yang berpegang kepada prinsip bahawa setiap rakyat Malaysia harus diberikan hak untuk mencari, menerima dan memberikan maklumat melalui apa jua medium atau platform.

“Pelaksanaan sesi libat urus yang holistik ini juga memberi peluang kepada semua pihak memberi pandangan mereka supaya penggubalan Akta Kebebasan Maklumat ini adalah berkesan mengikut kesesuaian negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Azalina telah merasmikan sesi libat urus bagi Zon Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang berlangsung selama dua hari berakhir esok.

Azalina ketika merasmikan sesi libat urus bagi Zon Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang berlangsung selama dua.

Sesi libat urus itu turut melibatkan panel penceramah jemputan dan pakar-pakar yang diundang khas daripada luar negara iaitu daripada Australia, Kanada, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Indonesia.

Mereka berkongsi pengalaman melaksanakan perundangan agar menjadi panduan dan rujukan dalam proses menggubal akta di Malaysia.

Libat usur dan pengubalan akta terbabit adalah susulan daripada keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 14 September 2023.

Jawatankuasa terbabit bersetuju secara prinsip terhadap penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Dalam masa yang sama Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 [Akta 88] masih dikekalkan dan akan dipinda bagi membolehkan kedua-dua perundangan ini melengkapi antara satu sama lain.

Mengikut piawaian antarabangsa, Resolusi 59 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu tahun 1946, kebebasan maklumat ditafsirkan sebagai hak akses yang diberikan kepada orang awam bagi mendapatkan maklumat milik badan awam atau Kerajaan.

Ia merupakan sebahagian daripada hak asasi untuk bersuara.

“Dalam konteks Malaysia, matlamat utama Kerajaan Perpaduan adalah untuk memastikan orang awam mendapat akses kepada maklumat sahih yang lebih terbuka dan telus daripada pihak Kerajaan dan secara tidak langsung akan membantu rakyat untuk turut terlibat dalam proses pembentukan dasar negara,” kata Azalina.-MalaysiaGazette