Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Akaun media sosial milik pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus ‘hilang’ secara tiba-tiba sejak semalam, dakwa netizen.

Carian MalaysiaGazette juga mendapati Laman Rasmi Facebook milik penceramah kelahiran Terengganu itu kini tidak lagi aktif.

“Kandungannya tidak tersedia pada masa ini. Apabila ini berlaku, biasanya kerana pemilik hanya berkongsinya dengan sekumpulan kecil orang atau menukar orang yang boleh melihatnya, atau ia telah dipadamkan,” tulis laman itu.

Sementara itu, seorang netizen dikenali Ustaz Hj Taufik UT turut mempertikaikan kehilangan laman rasmi itu.

“Page Ustaz Azhar Idrus Official yg ada 2.7 Juta Followers dah hilang dari radar. Angkara siapa?? Mohon Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil bantu dapatkan semula. Jutaan orang dapat Manfaat daripada page tersebut,” katanya.

Azhar, 60, yang lebih dikenali UAI dikenali dengan gaya penyampaian dan ceramahnya amat bersahaja dan diselit dengan jawapan pekat dengan dialek Terengganu.

Beliau sangat aktif dalam menyampaikan dakwah dalam usaha meninggikan syiar Islam di negara ini.

Namun begitu, pendekatan yang dibawa oleh Azhar sangat berbeza jika dibandingkan dengan pendakwah-pendakwah yang lain kerana pengisian ceramah beliau bukan sahaja diisi dengan ceramah fardu ain, malah turut diselitkan untuk sesi soal jawab agama. – MalaysiaGazette