Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB Holdings Sdn Bhd, Mokhtar Tajuddin menunjukkan laporan polis pada sidang media ketika sesi menjawab isu tohmahan dan fitnah terhadap GISB Holdings di Ibu Pejabat GISB Holdings, Bandar Country Homes, Rawang. Foto SYADILA AMARI, 29 OGOS 2024.

RAWANG – Syarikat GISB Holdings Sdn. Bhd. menuntut permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tiga penama yang disenaraikan menerusi tuntutan notis yang diberikan pada 23 dan 26 Ogos lalu..

Tiga individu itu ialah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Jamali Mohd Adnan dan Ustaz Daud Lin Abdullah.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB Holdings, Mokhtar Tajuddin berkata, mereka didakwa telah melemparkan fitnah, tohmahan dan kebencian terhadap syarikat itu menerusi media sosial.

“Dalam ucapan Maza (Mohd Asri) ada menyentuh beberapa isu antaranya berhubung gangsterisme yang dikaitkan dengan penularan klip video dalam media sosial adalah isu kekeluargaan dan melibatkan individu-individu tertentu atas kapasiti peribadi yang tidak ada kaitan dengan GISB Holdings.

“Seterusnya, isu air janggut, air gigi, air rambut dan air kaki, yang didakwa digunapakai dalam masakan di rangkaian restoran milik atau di bawah bimbingan GISB Holdings adalah satu dakwaan yang tidak berasas,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran GISB Holdings Sdn Bhd, Mokhtar Tajuddin bercakap pada sidang media ketika sesi menjawab isu tohmahan dan fitnah terhadap GISB Holdings di Ibu Pejabat GISB Holdings, Bandar Country Homes, Rawang. Foto SYADILA AMARI, 29 OGOS 2024.

Pada masa sama, Mokhtar memaklumkan pihaknya telah membuat satu laporan polis terhadap tiga pihak yang melontarkan fitnah terhadap syarikat terbabit.

“Hari ini kami ada membuat laporan polis terhadap tiga pihak yang didakwa berbaur fitnah di platform media sosial iaitu Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS), Scam No One dan Caprice.

“Mereka didakwa membuat pelbagai tohmahan terhadap syarikat kami yang sekaligus mengancam keselamatan, menimbulkan kebencian dan perbalahan terhadap kalangan kami.

“Selain itu, tindakan dan kata-kata mereka juga boleh membuka ruang pintu fitnah di media sosial menerusi ruangan komen,” jelasnya.

Menurut Mokhtar, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung notis tuntutan maaf daripada ketiga-tiga individu terlibat.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya tiada permohonan maaf atau maklum balas dalam tempoh yang diberikan, tindakan saman terhadap mereka akan dilakukan.

Pada 16 Ogos lalu, Mohd Asri dalam ceramahnya secara sindirannya telah memfitnah, bersangka buruk dan menimbulkan kebencian terhadap GISB Holdings sehingga ia tular rakaman di media sosial, kata Mokhtar.

Beliau mendakwa, menurut penelitian GISB Holdings, ceramah Mufti Perlis itu adalah hasil pembentangan kajian pihak tertentu, namun ia merupakan kajian berat sebelah oleh Ustaz Daud Lin. – MalaysiaGazette