Afandi menyerahkan sijil kepada seorang anggota dalam Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan peningkatan jumlah kes jenayah indeks untuk tujuh bulan pertama tahun ini iaitu 6.90 peratus dengan 3,130 kes berbanding 2,928 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Afandi Senin berkata, namun peningkatan kes jenayah indeks itu dilihat masih berada pada tahap yang terkawal.

“Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor juga telah berjaya menyelesaikan sebanyak 60.61 peratus daripada kes yang disiasat manakala kadar pertuduhan kes jenayah adalah sebanyak 46.47 peratus iaitu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Sepanjang tempoh 28 Jun hingga 1 Julai lalu menerusi Op Cantas Ah Long, JSJ Johor berjaya menyelesaikan sebanyak 24 kes dan ini sekali gus telah membantu menyelesaikan kes dengan modus operandi yang sama yang turut melibatkan kontinjen Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Ketua Polis Johor dalam Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, JSJ Johor turut berjaya menyelesaikan satu kes pembunuhan yang berlaku di Pagoh dengan tangkapan suspek lelaki warga tempatan dan dituduh bawah Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor juga mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh Januari sehingga 25 Ogos lalu.

Bagi tempoh itu katanya, seramai 16,801 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah iaitu pencapaian ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 3.89 tan dadah dengan nilaian RM 54.86 juta.

Nilaian sitaan pelbagai aset pula berjumlah RM 12.41 juta, katanya.

“Dalam tempoh yang sama, bagi kes penagih berulang iaitu tindakan bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, seramai 549 orang telah berjaya ditangkap dan ini merupakan tangkapan keempat tertinggi di antara kontinjen.

“Bagi tangkapan bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) ADB 1985, seramai 107 orang telah berjaya ditangkap yang mana merupakan tangkapan kedua tertinggi di antara kontinjen,” ujar beliau.

Menurut Afandi, polis Johor menerusi Cawangan Khas Johor sentiasa komited dan berterusan menjalankan pemantauan dan risikan terhadap penyebaran ajaran meragukan dan ektrimis agama.

Katanya, perkara itu dibuktikan menerusi kejayaan operasi bersepadu Cawangan Khas Johor bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada awal Ogos lalu yang membawa kepada penahanan 16 individu yang mengikuti Ajaran Millah Abraham.

“Penahanan individu yang terdiri daripada 13 lelaki dan tiga wanita itu dijalankan serentak di empat daerah berbeza iaitu Pontian, Batu Pahat, Segamat dan Muar.

Menurutnya, semua tangkapan ini sudah dituduh bawah Seksyen 9 dan Seksyen 3 (1) (b) Enakmen Kesalahaan Jenayah Syariah 1997.

“Untuk makluman, pada 28 April 2016, ajaran ini telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa JAINJ kerana menyeleweng dan bertentangan dengan akidah syariah dan akhlak Islam,” katanya.

Selain itu ujarnya, dari Januari hingga 25 Ogos lalu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor telah merekodkan 2,832 kes dengan kerugian sebanyak RM110. 739 juta berbanding 2,685 kes dengan kerugian sebanyak RM 122.812 juta pada tahun sebelumnya.

“Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 247 kes, namun jumlah kerugian menunjukkan penurunan. Daripada 2,832 kes yang direkodkan, jenayah penipuan atas talian merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan kes iaitu sebanyak 2,480 kes bersamaan.

“Daripada jumlah tersebut pula, lima kes jenayah atas talian telah mencatatkan kes tertinggi iaitu berupa kes belian atas talian atau belian ‘online’, pelaburan tidak wujud, pinjaman tidak wujud, tawaran kerja dan phone scam,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Habis