Chang Lih Kang

SHAH ALAM – Sebanyak 10,000 jujukan genom bakal dikumpul menerusi program MyGenom dalam usaha menghasilkan rujukan tepat berkenaan genetik tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, dalam masa yang sama projek tersebut akan dapat meningkatkan penyampaian kesihatan dalam negara kerana dapat mempercepatkan proses rawatan dan diagnosis penyakit dengan lebih cepat.

Menurutnya, projek itu kini berada pada fasa pertama pelaksanaan termasuk dalam proses pembangunan Prosedur Operasi Standard membabitkan pensampelan, kawalan kualiti, pengekstrakan DNA dan penjujukan bagi memastikan ia mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Projek MyGenom akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada fasa pertama akan melibatkan penjujukan sebanyak 2,500 genom dengan jangkaan selesai pada tahun 2025 nanti.

“Dan selepas itu kami akan memohon dalam Rancangan Malaysia yang ke-13 (RMK-13) untuk teruskan projek ini untuk mencapai  10,000 jujukan genom, dengan nisbah 1 daripada 3,300 populasi rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek MyGenom Institut Kesihatan Negara (NIH), hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Penjujukan genom merupakan proses untuk menentukan susunan tepat nukleotida dalam molekul DNA, yang menyimpan maklumat genetik mengenai tubuh badan berdasarkan pelbagai etnik rakyat dalam negara.

Ia dapat memberikan maklumat berkenaan cara gen setiap manusia berfungsi sekaligus mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan manusia.

Chang berkata, menerusi program itu data MyGenom juga akan dibangunkan bagi membolehkan capaian dan perkongsian data yang teratur dan sistematik.

“Penjujukan genom sihat membantu menetapkan garis asas variasi genetik yang normal, yang penting untuk membezakan variasi genetik yang berpotensi menyebabkan penyakit, sekaligus meningkatkan ketepatan dalam mentafsir data genetik.

“Penjujukan populasi rakyat yang sihat juga dapat membantu mengenalpasti faktor genetik yang menyumbang kepada kesihatan dan ketahanan fizikal, yang dapat digunakan sebagai strategi kesihatan awam serta cadangan gaya hidup yang menyokong kesejahteraan dan pencegahan penyakit,” tambah beliau,.

Sementara itu, Dzulkefly menyifatkan projek berkenaan akan membuka peluang terhadap perubatan jitu di negara ini.

“Dalam rawatan diabetes contohnya, maklumat genetik boleh digunakan untuk meramal tindak balas pesakit kepada ubat tertentu, sama ada agen hipoglisemia oral atau insulin.

“Perubatan jitu membolehkan pesakit ditawarkan ubat yang paling berkesan dengan lebih awal, mengurangkan kesan sampingan, serta membolehkan natijah kesihatan terbaik untuk jangka panjang,” katanya.

MyGenom merupakan usaha sama di antara MOSTI dan KKM menerusi Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast