Arkib MalaysiaGazette Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah jerlus Vijaya Lakshmi Gali,48, yang tertimbus pada kedalaman 10 meter di Jalan Masjid India 23 Ogos lalu di sini kini memasuki hari ketujuh pagi ini selepas ia ditangguhkan kira-kira 3.30 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette sejak 9 pagi tadi di lokasi kejadian mendapati pasukan penyelamat terdiri daripada pelbagai agensi bersepadu antaranya polis, bomba dan penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam sudah bersiap siaga di lokasi kejadian.

Selain itu, difahamkan juga operasi menjejaki mangsa pada Khamis berfokus di sekitar lokasi utama kejadian di Jalan Masjid India, di sini.

Pemerhatian di sekitar lokasi kejadian, mendapati pita kuning garisan polis yang melarang orang awam ke lokasi kejadian bertambah rentetan daripada mendapan kedua yang berlaku 50 meter dari lokasi jerlus berhampiran Pondok Polis Masjid India.

Kawalan pergerakan orang ramai di sekitar kawasan perniagaan itu turut dihadkn oleh polis atas faktor keselamatan awam sementara pencarian mangsa hilang di lokasi kejadian jerlus.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengulangi kenyataan bahawa ibu negara masih selamat diduduki dan dikunjungi orang ramai walaupun beberapa insiden pemendapan tanah akibat cuaca tidak menentu.

Beliau menegaskan sistem perparitan dan saliran di ibu kota yang sudah menjangkau usia lebih 30 tahun akan diperiksa selain prosedur operasi standard pembangunan di ibu negara akan diperkukuhkan lagi.

Dalam kejadian Jumaat minggu lalu, seorang wanita warga asing dikenali sebagai vijaya Lakshmi Gali, 48, yang berasal dari negeri Andhra Pradesh hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam kira- kira lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran pada jam sekitar 8.10 pagi tadi.-MalaysiaGazette