Proses nyahcemar dan membasmi kuman dilakukan selepas dua anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menyelam selama 20 minit di saluran kumbahan bagi mengesan Vijayaletchumi di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India pada jam 3.33 pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Selaman pertama dua anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di saluran kumbahan di kawasan tanah jerlus Jalan Masjid India, awal pagi tadi mengambil masa kira -kira 20 minit.

Misi yang dijalankan jam 3.33 pagi tadi bagaimanapun gagal menemukan sebarang penunjuk.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi kejadi mendapati dua anggota skuba itu turun ke dasar salur kumbahan melalui sistem buddy.

Kedua-duanya memakai peralatan khas yang lengkap serta  dibantu oleh lebih 50 petugas bagi menjalankan misi berkenaan.

Selepas naik semula, kedua-dua anggota berkenaan perlu melalui proses nyahcemar dan membasmi kuman.

Sebelum itu pihak Indah Water Konsortium (IWK) melakukan proses menyedut air kumbahan bagi memudahkan pergerakan penyelam selain bertujuan mengurangkan paras air di saluran berkenaan.

Untuk rekod, proses selaman itu dilakukan susulan pihak bomba mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter.

Sebelum itu dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke lokasi kejadian bersama alat pengesanan kamera bagi mengenalpasti kedudukan mangsa.

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/2024/08/29/arus-air-lurang-kumbahan-sukarkan-pasukan-penyelam/

https://malaysiagazette.com/2024/08/28/bomba-kesan-objek-tersekat-antara-lokasi-tanah-jerlus-dan-lurang-kumbahan/

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Selepas insiden tersebut satu kejadian lubang mendapan sebesar dua kaki dikesan pada 2.30 pagi berhampiran Pondok Polis Masjid India yang jaraknya kira-kira 50 meter daripada kejadian lokasi pertama. – MalaysiaGazette