Lelaki warga Singpura (depan) dan kekasihnya (belakang) didakwa memiliki dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan mengedar dadah lebih tiga kilogram, dua minggu lalu.

Brayden Ong, 31, yang juga warga Singapura dan Wang Wee Ching, 38, faham akan pertuduhan yang dihadapi mereka, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan anggaran berat kasar 2,667 gram dan serbuk MDMA berat kasar 457.1 gram di sebuah rumah dekat Jalan Ekoflora 3/18, Taman Ekoflora di sini, pada 3.30 petang, 17 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2)(a) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Wang didakwa bagi dua lagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya lebih satu kilogram.

Tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.

Wanita itu didakwa mengedar MDMA dengan anggaran berat kasar 1,574 gram di dua lokasi berasingan iaitu sebuah rumah dekat Jalan Indah 29/10, Taman Bukit Indah di sini pukul 10.55 malam, 17 Ogos lalu serta sebuah kediaman di Kangkar Tebrau, Taman Istimewa di sini pukul 11.20 malam, hari yang sama.

Tertuduh yang faham akan pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang juga membawa hukuman sama iaitu gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, kedua-dua tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan memiliki 1.85 gram dadah jenis nimetazepam dan 2,240 mililiter (ml) cecair MDMA di rumah sama dekat Taman Ekoflora di sini pukul 3.30 petang, 17 Ogos lalu.

Mereka mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi, Siti Fatimah Mamu dan Adriana Azrin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan kimia pada 29 Oktober dan 27 November depan dan tiada jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua tertuduh.- MalaysiaGazette