KUALA LUMPUR – Kes saman Puteri Sarah terhadap Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan selesai secara baik selepas bekas kakak ipar kepada Ira Kazar itu membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Wiwi Darvinda selaku defendan membuat permohonan maaf kepada Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebagai plaintif di hadapan Hakim Yasmin Abdul Razak.
“Saya Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan merasa kesal dan memohon maaf kepada Puteri Sarah di atas tulisan-tulisan saya dalam Instagram saya pada 24 Ogos 2023,” katanya.
Terma-terma penyelesaian antara pihak terlibat kemudian direkodkan Yasmin.
Selepas membuat permohonan maaf, Wiwi Darvinda bersalaman dengan Puteri Sarah.
Turut hadir pada prosiding itu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah dan peguam Ammar Ghalip mewakili Wiwi Darvinda.
Berdasarkan draf persetujuan, defendan berasa kesal dengan apa yang berlaku dan meminta maaf kepada plaintif di mahkamah terbuka, serta defendan bersetuju untuk tidak lagi memuat naik, menerbitkan, menyiar atau berkongsi sebarang maklumat berita atau dakwaan terhadap plaintif, ahli keluarganya dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan plaintif di mana-mana media.
Selain itu, defendan perlu membuat permohonan maaf tanpa bersyarat kepada plaintif melalui hantaran di Instagram milik defendan selama tujuh hari dan permohonan maaf itu perlu dimuat naik serta merta pada tarikh penghakiman itu direkodkan.
Defendan juga perlu membayar kos RM5,000 kepada plaintif sebagai penyelesaian penuh dan muktamad kes saman itu.