SHAH ALAM – Seorang kontraktor dipenjara sehari dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi suapan RM3,500 kepada Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zaki Jamian, 44 pada Oktober 2020 hingga Disember 2021 merasuah Muhammad Amin Rosdan sebagai upah menyediakan laporan bergambar kerja pembersihan dan tidak mengenakan tindakan Notice To Correct (NTC)  tuntutan bayaran Tawaran Semula Cadangan Perkhidmatan Pembersihan Gerai Majlis bagi bulan September 2020 hingga Disember 2021 untuk syarikat miliknya iaitu Gabungan Selatan Resources.

Sehubungan itu, beliau telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Selepas mengaku bersalah, Zaki merayu kepada mahkamah supaya hukumannya diringankan.

Jelanya, beliau perlu membiayai rawatan fisioterapi khusus untuk kakinya selepas diserang angin ahmar dua tahun lalu.

Zaki memberitahu mahkamah beliau juga terpaksa menanggung kos rawatan RM350 setiap bulan, selain perlu menyara keluarga dengan pendapatan bulanan sebanyak lebih kurang RM3,000.

Mengakui kesalahannya, Zaki memberi jaminan tidak akan mengulangi perbuatan rasuah tersebut.

“Semua tanggungan kini di bawah tanggungjawab saya, isteri saya tidak bekerja.

“Saya insaf dan menyesal atas perbuatan saya dan berjanji tidak mengulanginya lagi,” jelasnya di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Sementara itu, hakim menegaskan kontraktor tersebut berdepan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal melunaskan jumlah denda yang dikenakan terhadapnya hari ini.

Terdahulu Zaki tidak diwakili peguam, manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Mohd. Alimi Mustapha.-MalaysiaGazette

Video Berkaitan

@malaysiagazette

Seorang kontraktor dipenjara sehari dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi suapan RM3,500 kepada Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Zaki Jamian, 44 pada Oktober 2020 hingga Disember 2021 merasuah Muhammad Amin Rosdan sebagai upah menyediakan laporan bergambar kerja pembersihan dan tidak mengenakan tindakan Notice To Correct (NTC) tuntutan bayaran Tawaran Semula Cadangan Perkhidmatan Pembersihan Gerai Majlis bagi bulan September 2020 hingga Disember 2021 untuk syarikat miliknya iaitu Gabungan Selatan Resources. malaysiagazette FaktaKes

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette