Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penerimaan bilangan pesawat yang kurang daripada yang dijadualkan telah memberi kesan kepada perancangan Malaysia Aviation Group (MAG).

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pada tahun ini kumpulan itu yang dijadualkan menerima 17 pesawat baharu yang ditempahnya hanya akan menerima tujuh buah pesawat sebagai sebahagian daripada program modenisasi pesawat bagi menyokong keperluan pertumbuhannya.

“Sehingga kini, MAG hanya menerima empat pesawat Boeing, B737-8 daripada 13 yang dipersetujui dalam kontrak menjelang 2024,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Katanya, bagi pesawat Airbus, A330neo, MAG yang dijadual menerima empat pesawat hanya akan menerima tiga pesawat menjelang akhir tahun ini.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan CAAM mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) Malaysia Airlines daripada tiga tahun kepada setahun saja.

Ia dibuat susulan syarikat penerbangan nasional itu berdepan isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawatnya, termasuk terpaksa berpatah balik.

Sebelum ini, media melaporkan pesawat Malaysia Airlines menuju ke Madinah terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) 22 Ogos lalu.

Pada 20 Ogos, penerbangan MH128 dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Melbourne terpaksa dilencongkan ke Alice Springs di Wilayah Utara Australia berikutan masalah enjin

Menurut Izham, MAG turut mengalami kekangan tenaga kerja berkemahiran ketika pemain penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan dan antarabangsa memasuki pasaran Malaysia.

Tambahnya, bagi mengatasi masalah tersebut, pihaknya bekerjasama dengan rakan kongsi bagi meningkatkan tenaga kerja dan menambah tenaga kerja berkemahiran kejuruteraan selain menambah baik pakej imbuhan untuk mengekalkan kumpulan pekerba berbakat untuk MAG – MalaysiaGazette