Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Seorang pesara pegawai bank berputih mata selepas terjerat sindiket love scam melibatkan parcel dengan kerugian sebanyak RM1.98 juta.

Mangsa yang berusia 64 tahun itu dipercayai telah memasukkan wang tersebut ke dalam 12 akaun sindiket.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berhubung kes itu jam 4.10 petang semalam.

“Mangsa berusia 64 tahun merupakan wanita tempatan telah berkenalan dengan suspek di media sosial.

“Dia kemudian telah diminta untuk menebus parcel dengan melakukan 12 transaksi ke dalam 12 akaun yang tidak dikenalinya bermula Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpedaya dengan modus operandi sindiket love scam.

“Jangan layan atau mudah percaya individu tidak dikenali di media sosial. Semak sebelum membuat sebarang transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my,” jelasnya. – MalaysiaGazette