UTeM terus memperkasakan kepimpinan mahasiswa termasuklah penglibatan program peringkat antarabangsa dalam usaha penjanaan graduan cemerlang selari gagasan Malaysia Madani.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memantapkan proses pemerksaan mahasiswa dan mahasiswinya sebagai pemimpin masa hadapan bukan hanya di peringkat nasional malahan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pemerkasaan mahasiswa dengan pengisian komprehensif berpakej holistik menjadi tunjang dan kemestian yang mesti direalisasikan.

Menurutnya, UTeM terus komited untuk melahirkan mahasiswa bitara dalam erti kata mempunyai sifat dan karekter yang unggul, berketrampilan, kompeten dan progresif seperti mana yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Jelasnya, pada masa yang sama pendedahan mahasiswa dengan pengantarabangsaan juga adalah set pelengkap elemen kemenjadian proses membina pemimpin masa hadapan ini.

“Perkara ini penting kerana ianya menjadi nadi penggerak kepada proses merealisasikan hasrat nasional dalam melahirkan komuniti unggul menerusi gagasan Malaysia Madani.

“Usaha UTeM terus seiringan dengan hasrat negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi antaranya UTeM menyahut dengan penglibatan kumpulan pemimpin mahasiswanya menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM dengan menyertai International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, UTeM menghargai, menyokong dan terlibat sama menjayakan program antarabangsa yang bertujuan mencungkil dan mengembangkan potensi kepimpinan dalam kalangan belia dan pemimpin muda.

Program ini telah telah dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ucaptama disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi diikuti pengisian beberapa forum menarik yang membincangkan isu-isu semasa, seperti peranan mahasiswa dalam pembangunan negara, kepimpinan AI, dan nilai kemanusiaan dalam media sosial.

iFUTURE 2024 menjadi platform utama bagi para belia dan mahasiswa untuk berkongsi idea, mendapat ilmu daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, serta membina jaringan global yang kukuh serta menjadi satu titik perubahan yang penting dalam memperkasaan generasi pemimpin masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast