Penunggang basikal warga asing maut dilanggar sebuah MPV di Johor Bahru, malam tadi. Foto Polis Johor

KUALA LUMPUR- Seorang penunggang basikal warga asing maut dalam nahas dengan sebuah kenderaan MPV di Jalan Pantai menghala pusat bandar, Johor Bahru, 11.35 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 36 tahun sedang menunggang basikal di tepi sebelah kiri jalan sebelum tiba-tiba bergerak ke kanan.

Ia menyebabkan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan, 29 tahun terlanggar mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis memohon orang awam yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan membantu siasatan.

Mereka juga boleh terus menghubung pegawai penyiasat, Inspektor Nur Fathihah Ismail di talian 010-4171762.

Menurut Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette