BALIK PULAU – Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi selepas video tular menunjukkan seorang lelaki Bangladesh memakai baju-T tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya mengesan video tular yang dimuat naik pemilik akaun TikTok Muhammad.firdaus025 pukul 1.30 tengah hari tadi.
“Hasil siasatan mendapati baju-T itu dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman, gotong-royong dan bukan bagi penugasan rasmi IPD Barat Daya.
“Bagaimanapun, pihak polis mengambil maklum isu ini dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan lelaki tempatan merakamkan gelagat seorang lelaki yang didakwa warga Bangladesh memakai baju-T tertera logo PDRM serta nama IPD Barat Daya. – MalaysiaGazette