Erik Ten Hag. Foto FB Buletin Manchester United.

LONDON – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag percaya pasukannya akan segera bangkit selepas menerima kekalahan memalukan 0-3 kepada musuh tradisi, Liverpool di laman sendiri awal pagi tadi.

Dia merasakan United bermain baik namun kecewa kerana tiga gol Liverpool semuanya bermula dari kesilapan pemainnya yang kehilangan bola di bahagian tengah.

Pengendali kelahiran Belanda itu menilai Liverpool hanya dapat menghukum kesilapan United dengan gol kerana mereka mempunyai barisan serangan dengan keberkesanan yang sangat tinggi.

Meskipun begitu Ten Hag percaya permainan anak buahnya tidak jauh ketinggalan daripada segi kualiti permainan.

“Kami mengawal permainan selepas setengah jam permainan dimana ketika itu permainan masih seri dan kemudian kami melakukan dua kesilapan besar dan Liverpool dapat memanfaatkannya dengan baik.

“Mereka melakukan penyudah yang baik dan mereka sangat klinikal. Ketika kami ketinggalan 2-0, mereka sangat dinamik,” kata Ten Hag seperti dilaporkan BBC.

Dalam aksi di Old Trafford, dua gol kesilapan Casemiro telah dimanfaatkan pelawat manakala pada gol terakhir, bola yang dikawal Kobbie Mainoo telah dirampas oleh Alexis MacAlister dengan mudah.

Ten Hag percaya dirinya mampu menghadiahkan lebih banyak piala untuk diletakkan di kabinet United musim ini.

“Ada banyak perlawanan untuk dimainkan dan saya tahu di mana kami akan berada pada penghujung musim. Kami akan memenangi piala. Ia akan sentiasa kekal terjaga.

“Lawan mungkin jauh sedikit tetapi kami akan mengejar dan kami akan kembali. Anda boleh melihat xG, kami tidak melepaskan banyak gol.

“Saya tidak fikir kami berada dalam corak yang sama. Kadang-kadang ia terbuka dan kami mengambil risiko,” sambung Ten Hag. – Agensi