Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masalah berkaitan hidraulik punca pesawat Airbus, A330-300 yang menuju ke Incheon, Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut kenyataan Malaysia Airlines Berhad (MAH), kesemua penumpang terlibat telah ditempatkan di hotel sementara penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D yang bakal berlepas pada pukul 8 malam ini.

“Pesawat daripada Seoul turut dijadualkan semula sebagai MH67D dan dijangka berlepas pada pukul 5.10 pagi waktu tempatan pada 3 September,” katanya.

Awal pagi tadi, penjejak penerbangan global, FlightRadar memaklumkan penerbangan MH66 dijadualkan berlepas dari KLIA pada pukul 12 tengah malam menuju ke Lapangan Terbang Incheon.

Bagaimanapun, pesawat itu berpatah balik dan mendarat di KLIA pada pukul 1.30 pagi.

Pada 20 Ogos lalu, pesawat MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur dilencongkan ke Alice Springs gara-gara masalah enjin di udara.

Sebelum itu, pesawat MAS yang membawa jemaah umrah ke Jeddah pada 4 Ogos juga terpaksa berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal.

Pada 24 Jun lalu, turut dilaporkan mengenai sebuah pesawat MAS dalam perjalanan ke Bangkok, Thailand berpatah balik ke KLIA ekoran masalah tekanan.

Selain itu, sebuah pesawat MAS juga terpaksa melakukan pendaratan cemas di Hyderabad selepas mengalami kegagalan enjin pada 20 Jun lalu. – MalaysiaGazette