Mike Chong Yew Chuan.

KUALA LUMPUR – MCA menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook supaya mengambil langkah serius bagi menangani masalah yang dihadapi Malaysia Airlines (MAS) supaya insiden pendaratan cemas tidak berulang.

Timbalan Ketua Pemudanya, Mike Chong Yew Chuan berkata, insiden terbaru membabitkan penerbangan MH66 yang dalam perjalanan ke Seoul, Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lewat malam tadi merupakan yang kelima sejak Jun tahun ini.

Beliau menegaskan, Loke harus sedar, kekerapan insiden seumpama itu bukan sahaja merosakkan reputasi MAS sebagai penerbangan nasional, sebaliknya, menjejaskan keselesaan malah membahayakan keselamatan penumpang.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) MAS daripada tiga tahun kepada satu tahun.

“Seterusnya langkah-langkah konstruktif yang segera perlu diambil (oleh) Loke dan kementeriannya secara aktif untuk mengatasi masalah tegar MAS, termasuk pesawat usang, kekurangan komponen mekanikal serta tenaga mahir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yew Chuan menambah, ini termasuk membantu merundingkan perkongsian sumber dan tenaga secara usahasama mahupun melalui pinjaman dan sewaan, dengan pemain industri serta pengendali udara yang lain.

Pesawat MAS ke Seoul, Korea Selatan itu dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1, KLIA malam tadi.

FlightRadar menunjukkan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH66 berlepas dari KLIA ke Seoul pada jam 11.50 malam tadi.

Menurut penjejak penerbangan global itu, pesawat Airbus A330-323 tersebut berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi tadi.

Ini merupakan insiden terbaru melibatkan penerbangan tergendala dan dilencongkan membabitkan syarikat penerbangan itu dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini. – MalaysiaGazette

Satu lagi pesawat MAS berpatah balik pagi tadi