KEPALA BATAS – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diumumkan minggu ini.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pengumuman itu akan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Semua nama-nama calon akan dikumpulkan dan dibawa untuk perbincangan di peringkat pimpinan sebelum Pengerusi BN (Ahmad Zahid) putuskannya.
“Saya rasa tidak begitu lama lagi (calon) akan diumumkan, boleh buat jangkaan dalam dua tiga hari lagi.
“Apa pun kita tidak akan umumkan di peringkat akhir, kita akan usaha memaklumkan siapa calon seperti mana yang kita buat sebelum ini di PRK Nenggiri dan lain-lain,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu Zambry merasmikan Kongres Global Trends In Engineering, Science and Technology (GTEST 2024) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menghimpunkan lebih 350 delegasi dari seluruh dunia.
Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada UMNO meletakkan calon wanita bagi DUN Mahkota, Zambry berkata, parti itu tidak menghalang mana-mana sayap serta bahagian menghantar nama untuk diangkat sebagai calon.
“Kita menerima cadangan-cadangan nama seperti biasa dan tidak menghalang mana-mana sayap sama ada wanita, pemuda, puteri ataupun peringkat bahagian sendiri untuk menghantar nama (calon).
“Tapi yang paling mustahak ialah apabila keputusan dibuat oleh majlis tertinggi khususnya BN maka itu adalah calon yang akan mewakili kita.
“Kedua yang penting, calon itu dapat diterima oleh pengundi-pengundi di kawasan DUN Mahkota,” katanya.
Media hari ini melaporkan Pergerakan Wanita UMNO mengemukakan tiga nama calon kepada pimpinan parti bagi mewakili BN bagi PRK DUN Mahkota.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara. – MalaysiaGazette