Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh meminta Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bercuti terlebih dulu.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, ini kerana kedua-dua tokoh Pas berkenaan masing-masing mempunyai kes dalam siasatan  dan sedang didakwa di mahkamah.

Justeru katanya, sebelum mahu menyuruh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti, Timbalan Presiden Pas itu sepatutnya meminta dua menteri besar dari parti tersebut berbuat demikian terlebih dahulu.

“Nak tanya pada YB Tuan Ibrahim Tuan Man juga sebelum minta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicutikan, tak nak minta MB kedah dan MB perlis dicutikan juga ke??

“Masing-masing pun ada kes yang disiasat dan sedang didakwa di mahkamah. Ke kat orang lain boleh tetapi dekat geng sendiri tak boleh?,” soal Akmal dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas dilaporkan berkata, beliau berpendapat Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan Akuan Berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Siasatan mesti menyeluruh termasuk sejauh mana aku janji mematuhi kehendak undang-undang dan tiada unsur paksaan.

“Persoalan utama apakah hasil selepas siasatan, sedangkan 47 kes pun boleh ditarik balik?

“Apa jaminan kalau (terbukti) berlaku salah urus atau penipuan kepada Yang di-Pertuan Agong, apakah Ahmad Zahid sedia meletakkan jawatan?” katanya memetik laporan Sinar Harian Online.

Sementara itu, Dr Akmal menggesa Tuan Ibrahim supaya menyatakan pendirian berhubung kenyataan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghina Sultan Pahang ketika kempen PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.

“Satu lagi persoalan kepada YB Tuan ibrahim,YB setuju ke dengan kenyataan Tan Sri Muhyidin kepada Tuanku Sultan Pahang di PRK nenggiri yang lepas?

“Sila jawab persoalan ini dulu,” gesa ADUN Merlimau itu lagi.- MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:-

Zahid perlu dicutikan, beri laluan siasatan- Tuan Ibrahim