Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merasmikan hotel transit ‘Capsule Transit MAX’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) di sini, hari ini.

SEPANG – Kerajaan bersetuju melaksanakan dua inisiatif subsidi membabitkan penetapan harga siling tiket penerbangan dan bantuan tiket penerbangan pelajar (FLYsiswa) sebanyak RM300.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat untuk mereka dari Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan.

“Hari ini dalam mesyuarat Kabinet bersetuju meneruskan inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung.

“Begitu juga untuk pelajar dari Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak, IPTA (institut pengajian tinggi awam), IPG (Institut Pendidikan Guru) dan sebagainya, mereka tetap diberikan bantuan dan ia akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.

“Jadi, setiap tahun kita di peringkat Kerajaan Persekutuan akan bantu mereka (peajar ini), manakala kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga ada membantu pelajar-pelajar mereka dengan (bantuan) sebanyak RM600. Ini sekaligus mengurangkan beban khususnya untuk pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, hari ini.

Pada 15 Ogos 2023, inisiatif FLYsiswa dilaksanakan menerusi pemberian baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan FLYsiswa telah mendapat kerjasama daripada beberapa syarikat penerbangan utama negara antaranya Malaysia Airlines Berhad, AirAsia dan Batik Air.

Sementara itu, Anthony berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.

Ujar beliau, jumlah itu akan ditetapkan tiga hari sebelum bagi setiap musim perayaan iaitu pada harga RM599. 

“Kadar itu akan dikekalkan dan diteruskan pada musim- musim perayaan akan datang termasuklah Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Hari Raya dan sebagainya. 

“Kita juga akan bagi subsidi daripada kerajaan kepada syarikat penerbangan, jadi itu antara langkah yang kita ambil untuk memastikan terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak dapat dibantu dan mengurangkan beban mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast