Jurulatih pasukan Lubnan, Miodrag Radulovic bercakap pada sidang media Pesta Bola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan Lubnan yang kini berada pada kedudukan ke-116 dalam ranking FIFA dunia mengesahkan penyertaan mereka dalam Pesta Bola Merdeka 2024.

Sebelum ini, Lubnan yang sepatutnya bertanding dalam edisi tahun lalu terpaksa menarik diri di saat akhir.

Kini, mereka bersedia untuk mempersembahkan aksi terbaik di pentas kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil di sini menentang pasukan Tajikistan yang berada di ranking ke-103 dunia.

Pada sidang media menjelang pra perlawanan hari ini, Ketua Jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic menekankan kepentingan perlawanan kali ini untuk pasukannya.

“Ini sangat penting untuk kami kerana kami akan membawa pemain baharu untuk menguji kecergasan mereka. Kami menghormati Tajikistan, Malaysia dan Filipina kerana mereka adalah pasukan yang bagus,” katanya.

Jurulatih itu akan menggunakan pentas Pesta Bola Merdeka 2024 ini untuk menunjukkan kemampuan sebenar pasukannya dan berhasrat ‘membalas dendam’ terhadap pasukan Tajikistan.

“Kami akan cuba memberikan persembahan terbaik namun kami juga ingin membalas dendam terhadap Tajikistan kerana kami pernah kalah dalam aksi Piala Asia sebelum ini.

“Ada misi yang perlu kami selesaikan,” kata jurulatih pasukan itu.

Walaupun mengakui Tajikistan adalah pasukan kuat berdasarkan aksi mereka dalam kelayakan Piala Asia sebelum ini namun mereka akan melakukan yang terbaik untuk menghadapi cabaran.

Beliau turut menyatakan pasukannya bersedia memberikan cabaran terbaik kepada Tajikistan walaupun menyedari status lawan mereka sebagai juara bertahan.

Lubnan sebelum ini menerima kad merah ketika bertemu Tajikistan dan tewas 1-0.

Jurulatih juga memberitahu, pasukan Lubnan bersedia untuk menghadapi setiap cabaran dalam Pesta Bola Merdeka 2024 dan berharap mempamerkan prestasi cemerlang.

Pra perlawanan Pesta Bola Merdeka 2024 edisi ke-43 bakal menyaksikan aksi sengit antara pasukan Lubnan dan Tajikistan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok pukul 4.30 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast