Enam individu direman SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pengarah agensi penguat kuasa dan lima individu lain ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan penyeludupan di Tumpat, Kelantan.

Perintah reman selama lima hari sehingga 7 September 2024 terhadap kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50 hingga 60-an telah dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek termasuk penolong pengarah agensi penguat kuasa berkenaan dipercayai terlibat melindungi kegiatan penyeludupan haiwan hidup, selain beberapa barangan bersubsidi seperti minyak dan tepung.

“Pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai telah menerima rasuah antara RM5,000 hingga RM10,000 daripada beberapa suspek terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan itu.

“Kesemua suspek ditahan menerusi Op Smug sekitar jam 2.20 hingga 4.40 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette