Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bank domestik mencatatkan prestasi lebih baik pada suku kedua 2024 (S2 2024), didorong oleh pemulihan sederhana margin faedah bersih (NIM) serta peruntukan lebih kecil, kata RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Agensi penarafan itu berkata lapan kumpulan perbankan tempatan yang dinilai RAM mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi dengan purata pulangan sebelum cukai aset mereka meningkat kepada 1.41 peratus pada suku kedua 2024, daripada 1.37 pada suku pertama 2024 dan 1.39 peratus pada suku kedua 2023.

Bank tersebut ialah AFFIN Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, AMMB Holdings Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Malayan Banking Bhd, Public Bank Bhd dan RHB Bank Bhd.

Ketua bersama bahagian penarafan institusi kewangan RAM Ratings Wong Yin Ching berkata bank-bank berjaya menguruskan kos pendanaan mereka secara aktif dengan menghapuskan deposit tinggi untuk meningkatkan margin.

“Oleh itu, purata NIM daripada lapan bank itu menyaksikan peningkatan sederhana namun menggalakkan iaitu dua mata asas (bps) suku ke suku kepada 2.05 peratus pada suku kedua 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata pada separuh pertama 2024, pinjaman sistem perbankan meningkat 5.0 peratus daripada 5.3 peratus pada 2023, sejajar dengan unjuran setahun penuh.

Pinjaman isi rumah mendahului pertumbuhan, meningkat 5.2 peratus, mengatasi sedikit pinjaman perniagaan (4.8 peratus).

Pertumbuhan gadai janji kediaman – pemacu utama pinjaman isi rumah – menyederhana kepada 6.7 peratus namun masih kukuh daripada 7.3 peratus pada 2023 manakala pinjaman sewa beli kenderaan penumpang terus berkembang pesat, meningkat 9.6 peratus.

“Lantunan semula pertumbuhan pinjaman perniagaan yang bermula pada akhir 2023 sebahagian besarnya terus kekal sehingga separuh pertama 2024, disokong oleh ekonomi asas yang kukuh,” katanya.

Selain itu, katanya, kualiti aset bank Malaysia yang teguh menyokong asas kredit mereka yang kukuh.

“Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem rendah pada 1.60 peratus pada akhir Jun 2024 (akhir Disember 2023: 1.65 peratus).

“Keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dengan kadar pengangguran kembali ke paras seperti sebelum pandemik sebanyak 3.3 peratus akan membantu mengurangkan potensi kesan buruk daripada rasionalisasi subsidi.

“Kami mengunjurkan nisbah GIL berada antara 1.6 peratus dan 1.7 peratus menjelang akhir tahun,” katanya.

Wong berkata pada suku kedua 2024, nisbah kos kredit tahunan kelapan-lapan bank itu susut kepada 18 mata asas daripada 22 mata asas pada suku pertama 2024 dan 23 mata asas pada 2023.

“Liputan GIL (termasuk rizab kawal selia) yang berada pada purata 137 peratus, kekal lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik pada 107 peratus sehingga akhir 2019,” katanya.

 

— BERNAMA