Mohd Rashdan menunjukkan air Sungai Pandan yang tercemar dengan bahan kimia di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Kehadiran gas ammonia yang tinggi disyaki menjadi punca berlaku pencemaran bau di beberapa kawasan di sekitar Kampung Melayu Oandan, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Rashdan Topa berkata, gas ammonia itu dikesan melalui ujian yang dilakukan menggunakan alat pengukur gas di kampung berkenaan.

“Namun pemantauan yang dilakukan pada hari ini mendapati bacaan gas ammonia di kawasan tersebut semakin berkurangan.

“Pengawasan kualiti air di Sungai Pandan kira-kira pukul 1.30 petang semalam mendapati bacaan parameter bacaan oksigen terlarut (DO) adalah rendah.

“Kita menerima laporan mengenal pencemaran bau pada tengah malam semalam dan bacaan tertinggi yang direkodkan pukul 2 petang semalam dan bacaan melebihi AEGL 1 (tahap kepekatan udara selamat).

“Pengawasan kualiti udara yang dijalankan oleh JAS di Sungai Pandan pada pukul 1.10 pagi tadi mendapati bacaan kepekatan Ammonia dan lain-lain parameter adalah normal,” katanya dalam sidang akhbar di kampung itu, hari ini.

Semalam, media melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Seri Austin dan kampung berkenaan yang mengadu pening kepala dan loya setelah terhidu bau kimia d kawasan rumah masing-masing.

Bau kimia yang dikesan begitu kuat dan pekat di kawasan Kampung Melayu Pandan menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama di kawasan berhampiran ditutup.

Mengulas lanjut, Rashdan berkata, sampel yang diambil daripada air sungai dan tanah telah dihantar  ke Jabatan Kimia Negeri Johor bagi mengenal pasti kandungan bahan kimia lain yang masih belum dikenal pasti jenisnya.

Pihaknya berharap keputusan itu dapat diketahui dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengenai punca pencemaran.

Katanya, selain pemantauan di jalan darat, JAS Johor memantau menggunakan dron di sepanjang dua kilometer aliran di Sungai Pandan bagi mengesan sejauh mana sungai itu tercemar hingga berubah warna menjadi kehitaman  serta punca pencemaran bau kimia berkenaan erlaku.

“Pemantauan dron di Sungai Pandan yang diadu tercemar mendapati air sungai berwarna kehitaman, terdapat ‘oil sheen’ pada permukaan sungai dan kehadiran bau tengit yang agak kuat.

“Kita turut mengesan ‘oil sheen’ di sungai berhampiran Kawasan Perindustrian Tebrau yang dipercayai bahan kimia,” katanya.

Ujarnya, pemeriksaan di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Pandan juga telah dijalankan bagi mengesan punca pencemaran bau kimia berlaku.

Kata Mohd Rashdan, pemeriksaan premis itu turut melibatkan loji-loji kumbahan selain kilang yang menggunakan ammonia seperti kilang baja dan kilang membuat ais.

“Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa bahan kimia itu dibuang oleh lori yang membawa sisa buangan dari luar ke kawasan tersebut, katanya siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

Sehingga kini katanya, hanya dua orang sahaja dari kawasan terjejas mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik kesihatan setelah mengalami pening kepala dan loya akibat terhidu bau kimia. – MalaysiaGazette