KUALA LUMPUR – Semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disaran untuk mengadakan solat hajat dan doa selamat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ibadah itu dijalankan bagi memohon perlindungan Allah SWT dan kesejahteraan daripada sebarang musibah.

Beliau menyaranka, ia diadakan selepas solat Isyak pada 5 September 2024 (Khamis) dan selepas solat Jumaat pada 6 September ini.

“Ini susulan terdapat beberapa tragedi dan bencana yang berlaku di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti banjir kilat dan kejadian tanah jerlus.

“Jawi juga menzahirkan empati kepada mangsa dan waris yang terbabit serta sentiasa mendoakan agar dikurniakan kemudahan dan kecekalan.

“Ia buat semua pihak yang terbabit dalam melaksanakan sebarang usaha pemulihan dan penyelamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Ajib turut mendoakan dan berharap agar jerih perih dan sumbangan bakti dalam memelihara kemaslahatan umat dikurniakan ganjaran di sisi Allah. – MalaysiaGazette