Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman

KUANTAN – Penganjur acara larian jarak jauh disaran memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) berkenaan acara yang dijalankan itu berikutan keadaan cuaca panas sejak kebelakangan ini.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, langkah tersebut akan membolehkan pihaknya bersedia dengan bantuan perubatan sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Meskipun tiada keperluan untuk disediakan ambulan atau petugas kesihatan, tapi sekurang-kurangnya apabila menerima laporan berkaitan kemalangan ketika program membabitkan peserta mereka, kita tahu dan dapat bertindak segera dengan bantuan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Ambulans kepada Pengarah Hospital di perkarangan Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut menasihati para peserta agar memastikan kesihatan diri dalam keadaan optimum beberapa hari sebelum menyertai program seumpama itu.

Rusdi merujuk kepada kes kematian kedua akibat strok haba di Pahang yang membabitkan seorang lelaki berusia 20-an yang menyertai program larian sekitar Teluk Chempedak pada 24 Ogos lepas.

Katanya, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat heatstroke with multi organ failure.

Dia (kes kematian kedua) lebih kepada berpunca sebab tidak dijumpai orang masa dia pengsan atau boleh kata terlewat menerima rawatan. Itu sebab tak dapat diselamatkan.

“Kalau ada orang lain masa dia pengsan tu, insyaAllah boleh diselamatkan. Sebab dia (mangsa) muda lagi,” katanya.

Sehingga kini, jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada tahun ini adalah 18 kes yang mana 14 melibatkan kelesuan haba dan empat kes melibatkan strok haba dengan dua kematian.

Menurut Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), suhu harian bagi negeri Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 darjah Celcius.

Julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkunan 24 darjah Celcius hingga 33 Celcius. – MalaysiaGazette