KUALA LUMPUR – Seorang pesara jururawat berputih mata kerana kerugian hampir RM2 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud ‘Capital Dynamic’ menerusi media sosial.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Kedah, Superitenden Loi Yew Lik berkata, satu laporan telah diterima daripada wanita berusia 76 tahun itu di Balai Polis Jitra, IPD Kubang Pasu pada 12.37 tengah hari semalam.
“Pengadu merupakan bekas jururawat di Sydney, Australia telah melihat satu pelaburan yang diiklankan melalui Youtube dan kemudian berurusan dengan wakil syarikat serta diterangkan berhubung pelaburan itu menerusi kelas atas talian yang disediakan.
“Kemudian, pengadu telah membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 pada 17 Jun lalu dan seterusnya melakukan transaksi sebanyak 19 kali ke pelbagai akaun yang diberikan hingga mencecah RM1,902,070 juta
“Wanita itu turut dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam tempoh sebulan namun sehingga laporan polis dibuat tiada sebarang keuntungan diterima hingga menyebabkan dia berasa curiga kerana telah ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati, pelaburan itu adalah palsu dengan menggunakan nama syarikat pelaburan antarabangsa ‘Capital Dynamic’.
Katanya, modus operandi digunakan mereka adalah menerusi pelaburan atas talian dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan lumayang agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan tidak wujud.
“Orang awam juga dinasihatkan agar membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman web di semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat pelaburan kepada mana-mana syarikat atau platform pelaburan,” jelasnya. – MalaysiaGazette