KUALA LUMPUR – Juara bertahan Tajikistan kalah mengejut kepada Lubnan dalam perlawanan Kejohanan Piala Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil 4.30 petang tadi, Lubnan tidak mengambil masa yang lama untuk mengejutkan juara edisi musim lalu apabila menewaskan pasukan rangking ke-103 dunia itu dengan keputusan 1-0.
Gol tunggal yang juga gol kemenangan pasukan yang menduduki ranking ke- 117 dunia dijaringkan oleh Jihad Ayoub pada minit ke-13 separuh masa pertama.
Tajikistan yang majoritinya dibarisi pemain muda terus mengatur strategi untuk mencari gol penyamaan sehingga minit ke-90 perlawanan.
Bagaimanapun, segala usaha mereka gagal menembusi gawang lawan.
Pada minit ke-90 Tajikistan mendapat peluang terbaik untuk mencipta gol penyamaan bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Lubnan.
Selepas ini, Lubnan akan bertemu pemenang perlawanan kedua iaitu Malaysia atau Filipina yang akan bertarung jam 9 malam ini.
Manakala, Tajikistan akan berentap untuk penentuan tempat ketiga dan keempat pada 8 September ini.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Tajikistan Gela Shekiladze menyifatkan aksi menentang Lubnan satu permainan sukar kerana kedua-dua pasukan cuba mencari kemenangan.
“Kalau tak cukup kualiti kita tidak boleh menjaringkan gol. Saya sedih tak dapat mempertahankan gelaran yang dirangkul musim lalu kali ini.
“Ada pemain dibeberapa posisi belum bersedia untuk aksi menentang Lubnan tadi.. kami masih ada peluang untuk menang permainan kedua nanti (penentuan tempat ketiga dan keempat).
“Lagipun, saya perlu mengakui di sini bahawa kami juga telah hadapi kesukaran beraksi dalam keadaan cuaca panas tadi,” katanya.-MalaysiaGazette