Pendaftaran bayi
Foto hiasan

KUANTAN – Seorang bayi perempuan yang masih bernyawa dan bertali pusat ditinggalkan dalam sebuah beg berwarna hitam sebelum  ditemui oleh seorang petugas rumah kebajikan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, beg tersebut diletakkan di tepi pagar Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Terencat Akal Alor Akar.

”Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ada sebuah kereta dan seorang individu disyaki lelaki berjalan kaki dan meletakkan sesuatu di lokasi sebelum beredar menaiki kenderaan tersebut pukul 10.30 malam tadi.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

”Bayi perempuan itu ditemui kakitangan lelaki rumah itu kira-kira jam 7.30 pagi selepas terdengar tangisan ketika keluar daripada institusi itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Wan Mohd Zahari, bayi perempuan itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)  menaiki ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

Bayi berkenaan dilaporkan stabil dan tiada sebarang kecederaan dikesan namun kulit bayi telah menjadi kebiruan akibat kesejukan ketika ditinggalkan.

Kes berkenaan dalam makluman pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan dan sampel darah bayi akan diambil untuk perbandingan DNA (asid deoksiribonukleik).

Beliau berkata kes masih dalam siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette