Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga kanan) dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (empat kanan) merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 5 SEPTEMBER 2024

PUTRAJAYA – Malaysia Airport Berhad Engineering Services (MABES) perlu mengambil langkah mitigasi bagi menangani masalah kekurangan jurutera mahir penyelengaraan pesawatnya secepat mungkin.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat penerbangan itu juga perlu mengambil langkah drastik untuk menarik minat pekerja mahir baharu.

“Mereka (Malaysia Airlines Berhad) perlu memastikan kekosongan yang ditinggalkan oleh 63 pekerja mahir itu diisi. Ini adalah satu persaingan yang tidak boleh dielakkan.

“Pekerja (yang berhijrah) ini mendapat gaji tinggi, sudah tentu mereka mempunyai pilihan tawaran gaji.

“Kalau dilihat dari segi konteks positif, ia menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan pelancaran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia, di sini, hari ini.

MABES merupakan syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG).

Tujuh penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengalami masalah teknikal yang mana empat daripadanya berlaku Ogos lalu.

Terbaharu, Isnin lalu penerbangan MH66 ke Incheon, Korea Selatan yang menggunakan pesawat Airbus A330-323 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1) pada jam 12.01 tengah malam mengalami masalah teknikal sebelum berpatah balik dan selamat mendarat jam 12.34 tengah malam.

Smentara itu, Anthony berkata, kementerian menerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memantau pelan mitigasi seperti diarahkan sebelum ini.

“Setiap bulan MAB perlu menghantar laporan kepada CAAM,” tambah beliau.

Minggu lalu, Anthony mendedahkan seramai 63 orang daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain sejak Januari lalu.

Ia berkemungkinan disebabkan tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain.

Siasatan CAAM mendapati ia menjadi isu signifikan kepada beberapa insiden teknikal pesawat MAB, selain masalah komponen mekanikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast