Seramai 228 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan Akta Imigresen diberkas JIM Kedah dalam satu operasi di Kulim pada Rabu lalu.

KULIM – Jabatan Imigresen (JIM) Kedah telah menahan seramai 228 warga asing dalam satu operasi bersepadu di sebuah premis yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan yang menawarkan perkhidmatan ‘tukar majikan’.

Operasi tersebut dijalankan sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kedah.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, tangkapan itu melibatkan 222 orang lelaki warga Bangladesh, lima warga China serta seorang warga India.

Kesemua tangkapan dibawa ke pejabat JIM Kedah untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati agensi pekerjaan terbabit menawarkan perkhidmatan menukar majikan dalam pelbagai sektor pekerjaan dengan bayaran yang telah ditetapkan.

“Agensi tersebut menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan penawaran pekerja di semua sektor dan berjaya meyakinkan majikan yang terdesak memerlukan pekerja untuk mendapatkan kelulusan segera.

“Sedangkan ikut peratusan kelulusan diperlukan terlebih dahulu sebelum pekerja boleh dibekalkan kepada majikan baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966, dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Manusia 2007.

“Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

“Orang ramai dingatkan supaya berhati-hati dalam memilih agensi pekerjaan dan memastikan agensi tersebut berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette