KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru orang ramai menyertai Perhimpunan Mega Rakyat Malaysia yang bakal diadakan pada 11 Oktober ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, himpunan yang diadakan itu adalah bagi menunjukkan kebangkitan rakyat di seluruh dunia tentang kekejaman rejim Israel terhadap perlakuan genosid di Gaza.
“Himpunan yang bakal diadakan akan berlangsung selepas solat Jumaat bermula di Masjid Tabung Haji Kuala Lumpur bergerak ke Kedutaan Amerika.
“Jenayah genosid di Gaza sejak 7 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2024 adalah jenayah kemanusiaan yang paling buruk, kejam dan sangat barbarik dalam era sejarah moden dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media, Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin, Tian Chua dan aktivis Palestin, Hishamuddin Rais.
Tambah beliau, masyarakat antarabangsa (PBB) telah gagal menyekat zionis Israel dan penyokongnya yang terkuat, Amerika, dari melakukan pembunuhan massa lebih 50,000 nyawa dengan 70 peratus terkorban adalah kanak-kanak dan wanita.
“Maka perhimpunan ini bertujuan menggembleng seluruh rakyat merentas politik, agama dan kaum supaya hadir menyatakan bantahan terhadap kebiadaban Israel yang didukung Amerika Syarikat.
“Kami menyeru seluruh kumpulan NGO, ahli politik negara untuk sama-sama menyertai himpunan ini demi membela nasib rakyat Palestin.
“Kamu turut menyeru seluruh masjid mengadakan perhimpunan masing-masing dan menyampaikan khutbah mengenai perjuangan pembebasan Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, MAPIM turut menggesa Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri mengadakan sidang khas bagi meluluskan usul mengenai Genosid Israel di Gaza.
Sementara itu, aktivis Palestin, Hishamuddin Rais akan mengadakan pameran yang bakal menjemput seniman-seniman, pereka arca untuk mengingatkan genosid di Gaza, di Dataran Merdeka sebelum perhimpunan diadakan. – MalaysiaGazette