Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang pemandu bas sedang memerhatikan murid perempuan dalam bas yang dipandunya

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas sekolah ditahan awal pagi ini kerana merakam video kanak-kanak perempuan dalam bas sekolah, seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 2.57 pagi di kawasan Simpang Renggam, Kluang.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang membuat tangkapan itu merampas telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

“Pihak polis bertindak selepas menerima laporan kejadian berkenaan dan menjalankan siasatan penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam bas dipandu seorang lelaki.

“Video berkenaan dimuat naik pemilik dan pengendali akaun TikTok Abang Bas. Hantaran tersebut masih wujud dan boleh diakses,” ujar beliau.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seskyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.

Jelasnya lagi, polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang berada dalam rakaman video terbabit supaya tampil membantu siasatan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi sebuah hantaran di X pada Khamis berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.

Sebelum itu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Video-video itu setakat ini sudah mempunyai sebanyak 10.5 juta tanda suka atau ‘like’.- MalaysiaGazette