Datuk Seri Ahmad Maslan menyerahkan bendera sebagai simbolik pelancaran Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota, Kluang, hari ini.

KLUANG – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui bukan mudah untuk calon Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor berkata, ini kerana jumlah pengundi sudah bertambah tiga kali ganda iaitu 66,000 pengundi berbanding pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Beliau juga mengakui untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain bukan satu perkara yang mudah.

Jelasnya, walaupun Allahyarhamah menang dengan majoriti 5,166 pada PRN lalu namun situasi PRN dan PRK DUN Mahkota tidak sama.

Walaupun begitu, Menteri Besar Johor itu percaya dengan kaliber calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah yang diumumkan hari ini.

“Saya lihat calon kita seorang yang berwibawa yang boleh diketengahkan daripada banyak-banyak calon yang berkaliber.

“Kita harap pengundi memberi peluang kepadanya. Keputusan memilih Syed Hussien dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemilihan Syed Hussien tepat bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Dr Seri Wee Ka Siong, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

Dianggarkan lebih 5,000 jentera dan penyokong hadir bagi memberikan sokongan meskipun hujan.

Syed Hussien yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September, dengan penamaan calon pada 14 September dan pengundian awal pada 24 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah, 64, pada 2 Ogos lalu.- MalaysiaGazette