Gambar hiasan

ARTIKEL bertajuk “Ijazah Jururawat Tidak Laku” yang disiakan sebuah akhbar baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan jururawat, pelajar kejururawatan, ijazah dan akademia di institusi pendidikan. Walau bagaimanapun, tajuk tersebut tidak tepat dan membawa konotasi negatif yang menjejaskan reputasi ijazah kejururawatan di Malaysia.

Tajuk ini mengundang pandangan bahawa ijazah kejururawatan tidak mempunyai nilai di pasaran kerja, suatu tanggapan yang jauh tersasar dari realiti sebenar keadaan jururawat berijazah di negara ini. Penggunaan frasa “tidak laku” dalam tajuk berita tersebut memberikan gambaran yang salah tentang status ijazah kejururawatan di Malaysia. Frasa ini mengimplikasikan bahawa graduan kejururawatan tidak mendapat tempat di pasaran kerja atau tidak dihargai oleh majikan.

Pada hakikatnya, graduan jururawat Malaysia, sama ada dari universiti awam mahupun swasta, sentiasa mendapat tempat untuk bekerja di sektor kesihatan, terutamanya di sektor swasta. Tanggapan bahawa ijazah kejururawatan “tidak laku” adalah satu kenyataan yang tidak tepat dan menimbulkan persepsi negatif yang boleh menjejaskan minat prospek pelajar serta reputasi institusi pendidikan kejururawatan di Malaysia.

Sebenarnya, isu yang wujud bukanlah soal “laku” atau “tidak laku” ijazah kejururawatan, tetapi lebih kepada isu pengiktirafan yang tidak setara bagi graduan kejururawatan berijazah mengikut kelayakan mereka. Walaupun permintaan terhadap jururawat sentiasa ada, terutamanya di sektor swasta, terdapat kekurangan pengiktirafan yang sewajarnya untuk jururawat berijazah di sektor awam.

Sebagai contoh, kuota yang diberikan untuk menerima graduan yang memiliki ijazah sarjana muda dalam kejururawatan untuk berkhidmat dalam sektor awam adalah sangat rendah. Ini menyebabkan ramai graduan kejururawatan berijazah tidak mendapat peluang yang setara untuk memajukan kerjaya mereka di sektor awam.

Selepas pandemik Covid-19, sistem kesihatan global menghadapi cabaran besar disebabkan oleh ramai jururawat yang memilih untuk berhenti atau berhijrah ke tempat lain. Situasi ini menyebabkan kekosongan besar dan jurang sejumlah 8,000 jururawat untuk berkhidmat dalam sistem kesihatan negara dan memerlukan pengisian segera pada tahun 2023 dan 2024.

Begitu juga jangkaan kekurangan jururawat dijangka mencapai 60% pada tahun 2030. Oleh itu, permintaan terhadap jururawat menjadi sangat mendesak, dan jururawat berijazah juga menjadi pilihan utama untuk memenuhi keperluan ini.

Di sektor swasta, permintaan terhadap jururawat begitu kritikal sehingga banyak pemain industri kesihatan menawarkan mahasiswa kejururawatan dengan pelbagai pakej biasiswa dan latihan industri yang sangat kompetitif. Sesetengah institusi swasta juga menawarkan insentif khas untuk jururawat yang mempunyai ijazah sarjana muda. Fenomena ini menunjukkan bahawa mahasiswa kejururawatan sentiasa “diburu,” membuktikan bahawa ijazah kejururawatan masih sangat bernilai dan relevan.

Permintaan terhadap graduan kejururawatan berijazah bukan hanya wujud di dalam negara, bahkan dari luar negara termasuk Singapura, Brunei, Jerman, dan Arab Saudi. Negara-negara ini memerlukan tenaga kerja jururawat yang terlatih dan berkaliber, dan graduan dari Malaysia sering menjadi pilihan mereka. Ini menunjukkan bahawa ijazah kejururawatan Malaysia diiktiraf secara global dan merupakan bukti kukuh bahawa tanggapan bahawa ijazah ini “tidak laku” adalah tidak benar.

Isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah pengiktirafan terhadap ijazah kejururawatan terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam. Kuota yang rendah untuk menerima graduan dengan ijazah sarjana muda kejururawatan menyebabkan peluang pekerjaan di sektor awam menjadi terhad.

Ini bukan sahaja menafikan hak graduan untuk mendapatkan tempat yang setara dengan kelayakan mereka tetapi juga menghalang perkembangan kerjaya mereka di dalam sektor tersebut. Hakikatnya, program ijazah sarjana muda kejururawatan sejak tahun 1995 telah melahirkan ramai jururawat yang berkaliber dan telah menjadi pimpinan utama dalam profesion sejak itu. Malangnya, isu pengiktirafan ini masih berlarutan dan memerlukan penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh.

Untuk membetulkan naratif yang salah ini, pihak media sepatutnya memberi penekanan kepada realiti sebenar yang dihadapi oleh jururawat berijazah di Malaysia. Mereka perlu mengiktiraf sumbangan jururawat kepada sistem kesihatan dan bukan hanya melaporkan dari sudut sensasi yang boleh menjejaskan moral dan motivasi para pelajar serta graduan kejururawatan. Media juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih tajuk dan kandungan berita yang adil serta tepat bagi mengelakkan persepsi yang salah terhadap profesion yang sangat penting ini.

Secara keseluruhannya, tajuk “Ijazah Jururawat Tidak Laku” adalah satu pernyataan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan realiti sebenar. Sebaliknya, isu utama adalah kekurangan pengiktirafan yang sewajarnya bagi graduan kejururawatan di sektor awam dan bukannya kekurangan peluang pekerjaan atau permintaan di pasaran. Oleh itu, perlu ada usaha kolektif dari semua pihak, termasuk media, kerajaan, dan sektor swasta, untuk mengiktiraf kepentingan ijazah kejururawatan dan menyokong graduan dalam mencapai potensi penuh mereka dalam profesion ini.

Mohammed Rasheedan Ellin
Penyelaras Unit Kerjaya, Kebolehpasaran & Alumni
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Malaysia Sarawak