Gambar hiasan.

Oleh: Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Nurfarahira Ahmad Yaccob dan Nur Nadhirah Mat Nawi

BARU-baru ini dunia dikejutkan dengan satu rakaman video yang tersebar di media sosial mengenai seorang wanita warga Indonesia dan anaknya yang masih bayi menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Isu keganasan rumah tangga ini adalah masalah yang dilihat serius kerana berita mengenainya sering terpapar di media massa dan pelaku serta mangsa terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan latar belakang pendidikan. Persoalannya, di manakah silapnya?

Keganasan rumah tangga ini adalah suatu kekerasan yang berlaku dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kekerasan merujuk kepada pembentukan tingkah laku penderaan yang digunakan oleh seseorang individu dalam rumah tangganya bagi mendapat atau mengekalkan kuasa serta kawalan terhadap pasangan intimnya. Keganasan rumah tangga ini boleh juga dikatakan sebagai satu pencabulan terhadap hak asasi manusia.
Kebiasaannya wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa dalam isu keganasan ini, namun begitu melihat kepada realiti semasa, lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa kepada isu keganasan rumah tangga ini.

Jika kita lihat pada tahun 2023, berdasarkan statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia sebanyaki 5507 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dan ini menunjukkan berlakunya penurunan kes pada tahun 2022 iaitu sebanyak 6540. Namun begitu penurunan kes ini dikenal pasti berlaku kerana masih banyak kes penderaan yang tidak dilaporkan kerana ia dianggap sebagai isu kekeluargaan atau peribadi.

Masyarakat hari ini perlu sedar bahawa keganasan rumah tangga ini bukan sahaja berbentuk memberikan kecederaan fizikal semata-mata dengan memukul menggunakan anggota badan mahupun objek, tetapi keganasan rumah tangga ini boleh berlaku dalam beberapa bentuk yang lain juga antaranya penderaan emosi iaitu mengeluarkan kata-kata kesat dengan bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mangsa secara langsung atau secara dalam talian.

Keduanya adalah penderaan seksual, iaitu menggunakan seks sebagai cara untuk mengawal dan mengaibkan mangsa. Ketiganya adalah pengasingan, iaitu dengan mengawal segala pergerakan mangsa serta menghalang mangsa daripada berjumpa dengan ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat.
Keempat, ugutan iaitu dengan memberikan ancaman berbentuk ugutan untuk mencederakan mangsa atau keluarga terdekat mangsa, mungkin juga mengugut untuk membunuh diri.

Kelima, penderaan ekonomi iaitu menghadkan kewangan mangsa dengan cara enggan memberikan wang perbelanjaan rumah yang mencukupi atau boleh juga dengan cara merampas pendapatan mangsa. Keenam adalah menghendap, iaitu mengganggu mangsa melalui cara mengikuti mangsa, mengganggu mangsa secara fizikal atau melalui atas talian. Ini merupakan beberapa bentuk keganasan rumah tangga yang boleh berlaku pada seseorang individu.

Bagi membentuk sebuah rumah tangga yang bahagia, pastinya beberapa nilai keharmonian perlu diterapkan seperti saling menghormati, bertolak ansur serta saling memahami. Tanpa nilai keharmonian ini mana mungkin rumah tangga itu dapat dibentuk seperti yang disarankan dalam Islam iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kebahagiaan) dan rahmah (kasih sayang).

Malangnya apabila sesebuah institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat dan hangat untuk berlindung itu bertukar menjadi penjara, mangsa merasakan dirinya terkurung, terperangkap dalam situasi keganasan rumah tangga. Bagi membendung situasi ini daripada berterusan sudah pasti ia akan berbalik kepada diri sendiri, baik sebagai suami mahupun isteri perlu menghayati dan memahami semula tanggungjawab kita dalam membina sebuah rumah tangga yang harmoni.

Jika dilihat dari sudut agama, kita sama sekali dilarang menganiaya, atau mengasari orang lain termasuklah pasangan kita sendiri. Ada sesetengah orang mungkin berfikiran untuk memberikan pengajaran kepada kesilapan yang dilakukan, namun adakah tindakan yang menjurus kepada keganasan tersebut wajar dilakukan? Islam sendiri meletakkan garis panduan dalam mendidik isteri yang derhaka iaitu dengan cara yang berperingkat. Jadi jangan biarkan diri kita dikawal oleh nafsu amarah yang boleh merosakkan pemikiran, emosi dan tingkah laku kita. Melihat kepada situasi mangsa bagi keganasan rumah tangga ini rata-rata si mangsa tidak sedar dengan situasi yang berlaku atau boleh jadi menidakkan keadaan yang berlaku pada diri. Kitaran penderaan adalah satu corak tingkah laku yang sering berlaku dalam hubungan
yang tidak sihat, terutamanya dalam kes kekerasan dalam rumah tangga. Corak ini terdiri daripada beberapa peringkat yang berulang dan telah mewujudkan kitaran yang sukar diputuskan oleh mangsa.

Peringkat yang pertama ada adalah peningkatan ketegangan, di mana ketegangan mula meningkat akibat tekanan harian mahupun masalah dalam hubungan suami isteri itu sendiri. Pada tahap ini, kebiasaannya mangsa akan cuba meredakan situasi dan menuruti permintaan pelaku atau cuba mengelakkan konflik. Pada peringkat yang kedua, akan berlakunya insiden kekerasan. Tindakan kekerasan akan berlaku sama ada fizikal, lisan,
emosi, atau seksual. Tindakan ini termasuklah pemukulan, penghinaan, ancaman, atau bentuk kekerasan lain. Pada tahap ini juga pelaku akan memuaskan dirinya dengan melihat pasangannya menjerit atau menangis.

Seterusnya, di peringkat yang ketiga dikenali sebagai fasa bulan madu. Pelaku akan meminta maaf kepada mangsa dengan menunjukkan penyesalan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya. Selain itu, pelaku akan sering kali bersikap sangat prihatin dan penuh kasih sayang seolah-olah menjadi orang yang berbeza sehingga boleh membuatkan mangsa memaafkan pelaku dan memberi peluang kepadanya untuk berubah. Sejajar dengan tujuan peringkat ini adalah untuk memanipulasi mangsa agar tetap berada dalam hubungan dan memaafkan pelaku.

Pada peringkat yang keempat iaitu tempoh ketenangan. Ketenangan ini bersifat sementara dan mewujudkan penafian terhadap diri mangsa. Mangsa akan cuba untuk menafikan pemikirannya bahawa pelaku akan mengulangi perbuatan atau tidak akan melakukan sebarang perubahan atas dasar perasaan cinta terhadap pelaku, takut terhadap keselamatan diri atau pengalaman trauma yang menjadikan mangsa sukar untuk mempercayai orang lain. Pada tahap ini, kitaran kekerasan akan berulang kembali jika tidak ada perubahan yang ketara.

Justeru itu, setiap masyarakat perlulah cakna mengenai kekerasan atau keganasan yang berlaku dalam rumah tangga. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri namun anak-anak yang menyaksikan keganasan tersebut akan mengalami trauma dan kesan emosi yang negatif.
Masyarakat disarankan untuk meminta bantuan serta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati ada ahli keluarga, kenalan atau jiran yang terjerumus di dalam keganasan rumah tangga.

Prof Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor adalah Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar) di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, manakala Nurfarahira Ahmad Yaccob dan Nur Nadhirah Mat Nawi adalah Kaunselor Pelatih dari Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast