Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri berhubung siasatan yang dilakukan ke atas syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam isu-isu berkaitan akidah umat Islam kerana ia perkara asas dalam agama Islam yang mesti dipelihara setiap masa.

“Susulan isu yang terkait dengan pihak GISB Holdings Sdn. Bhd, Jakim telah diarah mengadakan pertemuan dengan pihak GISB Holdings untuk mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jakim akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak PDRM dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im meminta masyarakat supaya membuat laporan kepada pihak polis,  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri sekiranya mengetahui terdapat apa-apa kegiatan yang diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam.

Katanya, perkara itu penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri membuat siasatan lanjut.

“Pada masa sama, pihak Jakim bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut diminta memperhebatkan usaha-usaha penerangan tentang kepentingan menjaga akidah kepada umat Islam,” katanya.

Sebelum ini Mohd Na’im mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB ekoran pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa ada kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa.

Selain itu, syarikat berkenaan turut didakwa mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan. – MalaysiaGazette